Satu.

Terkadang apa yang kau hajatkan tak selalunya tercapai dek akal, 
Tak tercapai dek kemampuan, 
Tak terhajatkan dek situasi yang mengongkong. 

Tapi percayalah --- 
Pabila ada yang sudi mendengar, 
Yang payah itu jadi ringkas, 
Yang hingar itu jadi sunyi, 
Yang sakit itu mengukir senyum. 

Dan tatkala kau lihat dia tersenyum lebar, 
Hati kau mulai terdetik. 
Terdetik bahagia, terdetik indah melihat senyum dia. 
Tapi harus kau akui, 
Tatkala senyum itu bukan untuk kau. 
Ya, dia tidak tersenyum untuk kau. 

Pabila kau toleh kebelakang, 
Kelihatan satu susuk yang kau pasti kau amat mengenalinya. 
Namun --- 
Kau tak sedar yang senyum itu tadi dilemparkan kepada susuk yang berada di belakang kau. 

Dan pada bila kau mulai sedar perkara itu, 
Kau mulai mendongak, 
Menongkat dagu, 
Menahan air mata dari jatuh. 
Kau paksa air mata itu untuk bergenang didalam kelopak, 
Kau paksa air mata itu untuk berenang didalam retina. 

Air mata itu jatuh juga, dek kerana diri sendiri tak gagah menahan pilu. 
Kau seka, 
Kau seka lagi. 
Dan jari-jari runcingmu itu mulai menggigil, 
Sejuk dan kaku, 
Kau sedar hakikat itu, sememangnya dia tidak tersenyum untuk kau. 
Kau ukir satu senyuman dengan penuh perit, 
Terasa seperti tepi bibir disiat keras, 
Semata-mata untuk membentuk sebuah senyuman untuk dia, 

Dan kau pun mulai berlalu pergi, 
Pabila kedengaran hilai tawa mereka mula memenuhi ruang, 
Ruang yang sayu dan kosong, 
Dan ruang itu bertukar suram saat kau melihat mereka berjalan beriringan. 

No comments:

Post a Comment